Saturday, October 1, 2011

Pasar Besar Pasir Mas akan dibangunkan


PASIR MAS – Pembinaan Pasar Besar Pasir Mas yang tertangguh sehingga menimbulkan banyak rungutan terutama di kalangan hampir 1,000 peniaga di pasar lama, kini dibangunkan semula.
Pembinaannya kini diteruskan di bawah projek usahasama antara Kerajaan Pas Kelantan dengan dua buah syarikat swasta, Eastern Biscuit Factory Sdn. Bhd. (EBF) dan EBF Land Sdn. Bhd., anak syarikat FBO Berhad di bawah Projek Bandar Tasek Raja.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sedar mengenai rungutan banyak pihak mengenai penangguhan tersebut, namun ia bukan disengajakan disebabkan pelbagai masalah.
“Pasar besar lama yang ada sekarang memang uzur dan daif, namun kerajaan negeri terutama Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) tidak pernah berhenti membantu membangunkan sebuah pasar yang lebih moden dan dilengkapi prasarana.
“Bagaimanapun, pihak pemaju berhadapan dengan masalah antaranya kawasan yang dibangunkan merupakan bekas paya atau tapak sawah yang memerlukan masa untuk kerja-kerja cerucuk dan juga mengubah suai barang-barang binaan agar sesuai dengan jenis tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek pembinaan Bandar Tasek Raja yang merupakan pusat komersial baru di sini yang turut menampakkan pasar besar dengan 1,600 unit gerai.
Hadir sama Pengerusi FBO Berhad, Datuk Farokh Othman dan Yang Dipertua MDPM, Mat Jusoh Yusof dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri.
Beberapa tahun lalu, Pas telah berjanji untuk membina sebuah pasar baru ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir bagi menggantikan pasar sementara yang digunakan sekarang.
Takiyuddin berkata, melalui projek fasa pertama yang turut mengandungi pasar besar itu, masalah hampir 1,000 peniaga di pasar lama dijangka selesai apabila projek tersebut yang menelan belanja RM75 juta siap dan beroperasi pada 2013.
“Buat masa ini, pasar lama tersebut walaupun dalam keadaan uzur, tidak akan dibaik pulih dan dikekalkan seperti yang ada sekarang. Kalau dilakukan perubahan, peniaga terpaksa keluar sedangkan tidak lama lagi semuanya akan berpindah ke tapak baru,” katanya.
Projek pembangunan Bandar Tasek Raja terletak di lokasi strategik iaitu kira-kira dua kilometer dari bandar Pasir Mas, 20 kilometer dari Rantau Panjang dan 19 kilometer dari Kota Bharu.
Projek itu kini giat dibangunkan di atas tapak seluas 12.4 hektar untuk dijadikan sebuah bandar baru dan pusat pelaburan.
Ia merangkumi 266 unit kedai, pasar besar, terminal bas dan teksi, pasar raya, surau serta pelbagai kemudahan orang ramai.
//utusan

No comments:

Post a Comment